30 Mei 2008

Anak Perempuan


Anak perempuan penentu masuk syurga, neraka

DARIPADA Aisyah, Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu dia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi)


Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka. Ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak perempuan. Mereka adalah aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Takutlah kamu kepada Allah dalam perkara yang berhubung dengan kaum wanita." Hadis itu bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak perempuan dan isteri mereka supaya sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah.


Ramai ibu bapa yang menjaga anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan saja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan sepatutnya.Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan pelbagai keburukan mencemarkan nama baik keluarga dan agama.Sesungguhnya anak yang diajar dengan didikan agama memberi faedah kepada ibu bapanya ketika hidup dan selepas mati.


Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam

Tiada ulasan: