24 September 2008

Rancang Perjalanan Anda Untuk Pulang Berhari Raya

KUALA LUMPUR - PLUS Expressway Berhad (PLUS) akan meneruskan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) seperti yang dilaksanakan pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini bagi melancarkan pergerakan lalu lintas.

Melalui kaedah itu yang diamalkan sejak tahun lalu, lebih 60 peratus pengguna jalan raya telah mengikuti waktu yang disarankan dan perjalanan trafik didapati lancar tanpa melibatkan kesesakan jalan raya yang ketara.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Nik Airina Nik Jaafar berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada orang ramai terhadap pelaksanaan TTA kerana ia berjaya mencapai matlamat.

"Kami menasihatkan orang ramai agar terus memberikan kerjasama dengan mengikut TTA yang dikeluarkan untuk cuti hari raya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PLUS di sini semalam.

Nik Airina memberitahu, pihaknya menjangka sebanyak 1.3 juta pengguna akan menggunakan lebuh raya PLUS pada musim perayaan ini.

Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat TTA di talian PLUSLine 1-800-88-0000 selain edaran jadual tersebut di semua plaza tol PLUS.

Selain itu, menurut Nik Airina, bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya semasa cuti musim perayaan ini, PLUS turut menyediakan 123 pasukan PLUS Ronda untuk mengadakan lebih banyak rondaan selain pasukan kecemasan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).

PLUS juga akan membuka hampir 1,000 kaunter tol bermula Sabtu ini bagi memudah dan mempercepatkan perjalanan pengguna ke kampung halaman pada Hari Raya Aidilfitri.

Tiada ulasan: